Monday, October 28, 2013

Bisikan Cinta

Kerana harga sebuah cinta itu adalah keimanan,
maka dengan serendah sujudku,
aku memohon hati itu daripada Pemilik sebenar.
Kerana sebuah kerinduan,
kualunkan zikir pada Tuhan Yang Satu,
agar aku sedar diri
daripada melebihkan rasa cinta pada ciptaanMu..
Kerana aku seorang manusia biasa,
masih punyai fitrah utk mencintai dan dicintai,
moga bisikan cinta dalam sujudku masih bisa dirasaimu..

Tuesday, October 22, 2013

Solat Dhuha paling ringkas

Assalamualaikum wbt...

Mesti ramai yang nak ada niat nak mengerjakan solat sunat dhuha tapi tak jadi berfikiran dhuha memerlukan kita untuk baca doa panjang-panjang..

Islam ini cukup mudah bagi yang faham dan tahu caranya. Tapi perlu dapatkan sumber dari sumber yang sahih... Allah takkan pernah membebankan umatnya.. Jadi Dhuha tetap masih boleh dilakukan dengan cara yang ringkas. Sesuai untuk mereka yang mempunyai masa terhad.

Solat Dhuha merupakan amalan sunat yang di galakkan kita amalkan nya. Ia dikatakan sebagai "pembuka rezeki" sebagaimana yang di nyatakan dalam hadis Rasulullah tercinta kita SAW.  

Solat ini boleh dilakukan 2, 4, 6, hingga 12 rakaat.

Cara Ringkas Solat @ Sembahyang Sinat Dhuha:

Rakaat : 2,4,6 hingga 12
Waktu : 10 pagi atau antara 7am - 1pm sebelum waktu Zohor. 
"Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya."
Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang
(Kitab Al-Majmu;' karangan Imam Nawawi).

1. Rakaat Pertama
"Allahuakbar" & Niat dalam hati :
✿ "Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta'ala"
✿  Baca Alfatihah hingga akhir
✿  Baca Surah, pendek pun takpa. (paling elok surah As-Syams )

2. Rakaat Kedua
✿  Baca Alfatihah hingga akhir
✿  Baca Surah, pendek pun takpa. (paling afdhal surah Addhuha)
✿  Tahiyyat akhir & Beri Salam..

3. Doa
✿ Mohon Allah murahkan rezeki kita..berkati kerja kita.
✿  Doa apa sahaja..mengadulah pada Allah..
✿  Paling mantap guna Doa ini khas untuk waktu Dhuha :

Maksudnya:
Ya Allah,
sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu  DhuhaMu, 
kecantikannya adalah kecantikanMu,
keindahan itu keindahanMu kekuatan itu kekuatanMu,
kekuasaan itu kekuasaanMu 
dan
perlindungan itu perlindunganMu..

Ya ALLAH,
jika rezekiku masih di langit, turunkanlah,
dan
jika  di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah,
jika haram, sucikanlah
dan
jika jauh, dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha,
kecantikan,
keindahan,
kekuatan,
kekuasaanMu,
Limpahkanlah kepadaku
segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.. 

~Amennn Ya Rabbal Alamin..~

Syarat pakaian wanita

Apakah syarat-syarat pakaian wanita?

1. Hendaklah menutup aurat
2. Tidak jarang atau nipis yang menampakkan kulit badan
3. Tidak ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq
6. Tidak berlebihan dan menzahirkan kesombongan
7. Bukan pakaian syuhrah
8. Tidak mempunyai hiasan atau corak yang menarik pandangan lelaki.

Adakah Syarak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita?

Syarak tidak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita, begitu juga bagi pakaian lelaki. Namun hendaklah pakaian wanita tidak terlalu terang warnanya hingga menarik perhatian lelaki atau mempunyai corak yang boleh membangkitkan ghairah atau mencuri pandangan lelaki kepadanya. Kerana itu, para ulamak menyukai jika wanita memakai pakaian berwarna gelap kerana ia kurang menarik perhatian berbanding warna lain.[21]

Monday, October 21, 2013

Wanita haid bolehkah masuk ke masjid?

Wanita haid bolehkah masuk ke masjid?

Wanita sejak zaman Rasul sukakan masjid.

Ini isu khilaf. Bila sebut isu khilaf, semua pihak ada hujah. Semua pihak bukan suka-suka hati keluarkan hukum. Jadi, semua pendapat layak kita hormati.

Perlu diperjelaskan juga...
Ia bukan isu khilaf bagi orang yang belajar atau mengajar fiqah berpandukan pendapat-pendapat lama semata-mata. Iaitu berpandukan pendapat imam yang empat sahaja. 

Ia suatu isu khilaf bagi orang yang belajar dan mengajar fiqah dengan cara menghargai pendapat lama dan meraikan pendapat baru/kontemporari. Dengan cara kedua inilah, saya belajar dan diajar tentang fiqah.

Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam buku Fiqh Thaharah, dulu ketika ditanya persoalan ini, beliau menjawab wanita haid tidak boleh masuk ke masjid, sesuai dengan pandangan jumhur fuqaha'.

Namun beliau berkata lagi, "Ternyata saya telah membuat mereka berada dalam kesempitan dalam masalah yang sebenarnya terdapat kelapangan/kemudahan." 

Beliau mengkaji nash-nash sahih, kuat dan jelas indikasi hukumnya. Beliau dapati hadis yang tidak menghalalkan wanita haid dan junub masuk masjid itu penuh dengan sanad-sanad lemah dan tidak jelas. Tidak boleh dijadikan sumber hukum.

Kekhuatiran adanya ceceran darah haid kini tiada lagi. Sebab wanita pada zaman ini telah memakai 'pad' yang mampu menahan jatuhnya darah. Sila rujuk lanjut Fiqh Thaharah.

Saya dan jutaan muslimah serata dunia berbahagia memilih kemudahan ini. Jika ada di kalangan kalian yang tidak mahu memilihnya, saya hormati. Sama-sama berlapang dada. Adab memperlakukan hal khilaf, biarkan kita berbeza, jangan berpecah dengan hina-menghina.

Fatimah Syarha at 03:02

Friday, October 18, 2013

Nilai Sekeping Kain Kecil Itu

Nilai Sekeping Kain Kecil Itu
Harganya tidak mahal. Saiznya juga tidak besar.

Tidak semahal baju, tidak sebesar jubah.

Ia cuma sekeping kain yang digunakan untuk menutup wajah, kecuali sepasang mata.

Namun ramai orang memandang ia sekadar sekeping kain yang murah. Ramai juga orang menilai, ia sekadar penutup kepada wajah supaya ‘tidak dikenali’.

Hakikatnya, sekeping kain itu cukup mahal. Bukan pada harganya, tapi pada nilainya yang tersendiri. Nilai yang tersurat, juga nilai yang tersirat.

Bagaikan ada suatu tarikan tersendiri kepada wanita yang mengenakan sekeping kain itu di wajah mereka. Bukan tarikan fitnah manusia, sebaliknya tarikan kepada rahmat Allah sehingga menjadikan mereka mulia.

Tidak mesti ustazah, tidak mesti guru agama. Mulia itu Allah beri kepada mereka yang mengenakannya atas nama Taqwa. Itu yang menjadikan mereka tinggi di mata manusia.

Sudah tentu, bukanlah ketinggian di mata manusia itu suatu yang dicita-cita, tetapi itulah kurniaan Allah kepada hamba-hamba yang dipilih-Nya. Allah memuliakan siapa yang Dia mahu, dan menghinakan siapa yang Dia mahu.

Muslimat yang memilih untuk menutup wajah mereka agar dirinya lebih terpelihara dari fitnah dunia, akan dikurniakan Allah akan suatu nikmat kehidupan dunia yang tidak dirasai oleh sesiapa yang tidak memakainya.

” Saya rasa lebih tenang dan selesa “

” Alhamdulillah..rasa terjaga apabila bergaul dengan manusia “

Selesa, tenang dan bahagia itu letaknya di HATI.

Manusia yang memilih untuk mendekati Allah dengan wasilah-wasilah kebaikan, umpama mereka menempah kebahagiaan khusus dengan Allah. Dan Allah berikan kebahagiaan itu khusus ke dalam hati-hati mereka.

Nampak kolot, tapi hati damai.

Nampak ‘mudah dibuli’ tetapi mendapat penuh penghormatan.

Nampak tak menarik, tapi menarik rahmat dari Tuhan.

BICARA NILAI

Benarlah, nilaian manusia tidak sama dengan nilaian Tuhan.

Sekeping kain itu hanya tinggal sekeping kain yang tiada nilai, kiranya dipakai bukan kerana Tuhan.

Dipakai kerana ikut-ikutan, atau kerana mahukan penghormatan.

Dipakai kerana mahu menjadi ustazah jadi-jadian, atau semata-mata menarik perhatian jejaka idaman.

Allah menilai hati, bukan sekeping kain.

Tetapi sekeping kain yang dipakai kerana Tuhan, impaknya sungguh agung melangkaui nilaian insan.

Justeru, keagungan dan nilai yang tinggi itu jangan dipersiakan.

” Saya nak tengok wajah awak, boleh? “

Permintaan seorang lelaki.

Beradab, jika betul kena caranya. Tetapi biadab, jika tidak kena pada caranya.

Bagaimana seorang muslimat yang begitu menjaga penampilan dirinya dan menyembunyikan wajahnya dari tatapan lelaki ajnabi, akan menyingkap sekeping kain yang sekian lama menutup wajahnya untuk ditatap oleh seorang lelaki?

Berat.

Perasaan yang tidak dirasai oleh muslimat yang tidak mengenakan sekeping kain di wajah mereka dalam kehidupan sehari-hari.

Jika memakainya hanya kerana manusia atau untuk menarik minat sang jejaka, apa masalahnya, dengan mudah saja boleh dibuka. Disingkap, dilihat dan ditatap.

Tetapi bergegar singgahsana kehormatan seorang wanita yang memakainya kerana Allah jika mudah-mudah membiarkan wajahnya ditatap oleh sang teruna.

Jadi bagaimana?

Pemuda : Bukankah untuk melamar dan menjadikan isteri itu, harus ditatap wajahnya terlebih dahulu? Nah sekarang, mengapa berdegil untuk menyingkap sekeping kain itu?

Hawa : Ah, engkau tidak akan faham betapa besar nilainya sekeping kain itu kepada aku. Sekeping kain yang telah menjaga perilaku dan tutur kataku saban waktu. Sekeping kain yang menjadikan aku lebih jujur dengan diriku dan lebih telus dengan Tuhanku.

Dilema.

Kedua-duanya ada hak dan hak tersebut perlu ditunaikan.

Islam terbukti bijak meraikan kedua-dua hak tersebut. Baik di pihak mana pun, mereka tidak akan teraniaya dengan keadilan Islam.

Wahai pemuda, jika benar dirimu berhasrat melamar dan memiliknya, mampirlah bertemu kedua orang tua yang telah mendidik dan membesarkannya. Tataplah wajahnya sekira-kira mendatangkan keinginan kepadamu untuk menikahinya, namun bukanlah menatap itu tika kamu dan dia berdua-dua.

Wahai gadis yang suci, maruahmu tetap terpelihara. Singkaplah sekeping kain itu di hadapan si pemuda, bertemankan kedua-dua ibu dan bapa. Mereka pelindungmu di dunia, selagi dirimu belum bergelar isteri kepada mana-mana pemuda. Sudah tentu, tidak ada tempat yang lebih layak untukmu menyingkap sekeping kain tersebut melainkan di hadapan ibu dan bapa.

FITNAH

” Aku melihat bagaimana lemahnya iman mereka. Sekejap menutup wajah, sekejap membukanya untuk ditatap sesiapa sahaja. Ada juga yang memakainya sebelum kahwin, tetapi selepas kahwin membukanya pula. Ada yang pakai di luar negara, tetapi tidak pula selepas pulang ke Malaysia “

Bersangka baiklah.

Itukan suatu amalan untuk melatih jiwa dan mendekatkan diri dengan Pencipta. Bukanlah suatu kewajipan yang mesti untuk semua kaum hawa.

Sekeping kain itu juga adakala bertujuan mengelak fitnah dari mata-mata sang jejaka. Apatah lagi jika berada dalam suasana yang menggalak dan menyuburkan fitnah tersebut.

Tetapi tika berada di sisi suaminya, ia berbeza.

Tika berada di sisi bapanya, ia berbeza.

Tika berada dalam khalayak ramai tanpa ditemani suami atau bapa, ia juga berbeza.

Apa yang pasti, ia tidak menghilangkan nilai agung pada sekeping kain yang menutup muka.

Nilai itu tetap terpelihara, meskipun dengan cara yang berbeza.

Justeru kenalilah terlebih dahulu sekeping kain tersebut sebelum mengenakannya di wajahmu yang mulia. Jangan sampai kain tersebut tidak lekang di muka namun di hatimu cuma menganggapnya sebagai sekeping kain biasa.

Memakainya, biarlah bernilai ibadah.

Memakainya, biarlah bernilai solehah.

Moga-moga mujahadahmu di dunia meraih Syurga yang tinggi di akhirat sana. Ia pasti – insyaAllah – kiranya dirimu benar-benar telus dengan Yang Maha Esa.

Sekeping kain, seribu makna.

Moga kamu mengerti akan nilainya.

credit to : http://qalamsyuhada-musafircintailahi.blogspot.com/2012/12/nilai-sekeping-kain-kecil-itu.html?m=1

Sunday, October 13, 2013

HATI KAMI BERNAMA WANITA

Hati Seorang WANITA..

1. Sensitif : Bukan bermaksud suka merajuk, tapi hanya ingin
bermanja dan mendapatkan perhatian.

2. Cerewet : Bukan bermaksud FUSSY tak tentu hala, kadang ingin
LELAKI mengikut kata-katanya sekali sekala.

3. Halus : Ibarat sehelai sutera, cantik, mulus, lembut dan mudah
tercarik dan koyak. Walaupun seorang wanita memaafkan seseorang yang lain atas sebab sesalahan, biasanya WANITA akan ingat kesalahan tersebut untuk disimpan jadi pengajaran. Bukan DENDAM.

4. Ikhlas : Ikhlas seorang wanita tak perlu diragui.

5. Korban : WANITA sanggup berkorban apa saja untuk seseorang yang amat disayangi, termasuk ibu bapa, anak-anak dan suami. WANITA amat tabah.

6. Prihatin : Sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling dalam diam.

7. Manja : Walaupun dia adalah seorang WANITA yang pandai berdikari, naluri seorang WANITA masih lagi tetap seorang WANITA. Suka bermanja kepada insan yang bernama LELAKI iaitu SUAMI.

8. Ego : WANITA yang terlalu sayangkan kekasihnya sanggup menolak ketepi EGOnya apabila bersemuka dengan yang dicintai.

9. Cinta : CINTA pertama bagi wanita adalah yang paling dalam dan tulus.

Peranan LELAKI dalam kehidupan WANITA adalah sebagai pelindung dan bukan sebagai pemusnah. WANITA diciptakan oleh ALLAH swt dari tulang rusuk kiri dan untuk dipeluk dan dimanja, bukan untuk dikasari.